Pergi ke kandungan

Segan-Minyak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Minyak (burung))

Segan-Minyak
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Haiwan
Filum: Chordata
Kelas: Aves
Klad: Vanescaves
Order: Steatornithiformes
Mayr, 2010
Keluarga: Steatornithidae
Bonaparte, 1842
Genus: Steatornis
Humboldt, 1814
Spesies:
S. caripensis
Nama binomial
Steatornis caripensis
Humboldt, 1817
Steatornis caripensis - MHNT

Segan-Minyak atau Burung minyak (Steatornis caripensis), juga dikenali sebagai guacaro, ialah spesies burung yang terdapat di kawasan utara Amerika Selatan termasuklah kepulauan Karibia di Trinidad. Ia adalah satu-satunya spesies dalam genus Steatornis, keluarga Steatornithidae, dan order Steatornithiformes. Bersarang dalam koloni di dalam gua, Segan-Minyak ialah pemakan nokturnal yang memakan buah sawit dan laurel tropika. Ia merupakan satu-satunya burung pemakan buah nokturnal terbang di dunia (kakapo, juga nokturnal, tetapi tidak terbang). Ia mencari makan pada waktu malam, dengan penglihatan yang disesuaikan khas. Walau bagaimanapun, ia mengemudi melalui ekolokasi dengan cara yang sama seperti kelawar, salah satu daripada beberapa burung yang melakukannya. Ia menghasilkan bunyi klik bernada tinggi sekitar 2 kHz yang boleh didengari oleh manusia.[2]

Taksonomi dan etimologi

[sunting | sunting sumber]

Segan-Minyak adalah berkaitan dengan tukang dan kadangkala diletakkan bersamanya dalam order Caprimulgiformes. Walau bagaimanapun, tukang dan kerabatnya adalah insektivor manakala Segan-Minyak adalah frugivor, dan ciri-cirinya cukup berbeza untuk diletakkan dalam keluarga Steatornithidae dan suborder Steatornithes sendiri. Sesetengah penyelidikan menunjukkan bahawa ia harus dianggap sebagai order tersendiri (Steatornithiformes).[3]

Nama spesies caripensis bermaksud 'dari Caripe', dan nama genus Steatornis bermaksud 'burung gemuk', merujuk kepada kegemukan anaknya. Segan-Minyak dipanggil guacaro atau tayo dalam bahasa Sepanyol, kedua-dua istilah pribumi. Di Trinidad kadangkala ia dipanggil diablotin (bahasa Perancis untuk 'syaitan kecil'), mungkin merujuk kepada seruannya yang lantang, yang telah disamakan dengan orang yang diseksa. Nama lazimnya (burung) minyak berasal dari sejarahnya pada dahulukala anak-anaknya ditangkap dan direbus untuk membuat minyak.[4]

Rekod fosil keluarga tersebut menunjukkan bahawa ia pernah bertabur meluas di seluruh dunia. Segan-Minyak fosil pertama telah diperihalkan oleh Storrs Olson pada tahun 1987 daripada fosil yang ditemui dalam Bentukan Sungai Hijau di Wyoming.[5] Spesies Prefica nivea mungkin tidak disesuaikan dengan penerbangan kambang atau tinggal di dalam gua, tidak seperti Segan-Minyak. Beberapa keluarga dan genus tumbuhan yang sama yang dimakan Segan-Minyak zaman kini telah ditemui dalam Bentukan Sungai Hijau, menunjukkan bahawa spesies prasejarah mungkin telah memakan buah yang sama dan menyebarkan benih yang sama. Satu lagi spesies dari Eosen Atas telah ditemui di Perancis.[6]

Pemerihalan

[sunting | sunting sumber]

Ia berbadan besar dan langsing dengan panjang 40–49 cm (16–19 in) dan rentang sayap 95 cm (37 in). Ia mempunyai paruh bengkok yang kuat, rata, dikelilingi oleh bulu kejur berwarna berangan pekat berpanjang sehingga 5 sentimeter (2.0 in). Berat dewasanya dalam lingkungan 350–475 g (12.3–16.8 oz) tetapi anaknya boleh menjadi lebih berat, sehingga 600 gram (21 oz) jika induknya memberi banyak buah sebelum ia boleh terbang.[7] Bulunya lembut seperti kebanyakan burung malam, tetapi tidak selembut hantu atau tukang, kerana ia tidak perlu berdiam diri seperti spesies pemangsa. Warna bulunya kebanyakannya perang kemerahan dengan tompok-tompok putih pada tengkuk dan sayap. Bahagian bawahnya berwarna perang-kuning pucat dengan tompok putih berbentuk intan bersisi hitam. Tompok-tompok tersebut bermula kecil menghala ke arah tekak dan menjadi lebih besar ke arah belakangnya. Bulu ekornya yang kaku berwarna perang pekat bertompok putih pada kedua-dua sisinya.[6]

Kakinya kecil dan hampir tidak berguna, selain untuk berpaut pada permukaan menegak. Sayap panjangnya telah berevolusi untuk menjadikannya mampu terbang berkimbang dan berpusing, yang membolehkannya mengemudi melalui kawasan larangan guanya. Sebagai contoh, sayapnya mempunyai aluran hujung sayap yang dalam, seperti hering Dunia Baharu, untuk mengurangkan kelajuan pegun, dan sayapnya mempunyai nisbah aspek yang rendah dan muatan sayap yang rendah, semuanya untuk menjadikan Segan-Minyak mampu terbang pada kelajuan rendah.[6]

Mata Segan-Minyak sangat tersesuai untuk meramu pada waktu malam. Matanya kecil, tetapi pupilnya agak besar, membenarkan kapasiti pengumpulan cahaya tertinggi bagi mana-mana burung (nombor f 1.07).[8] Retina dipenuhi oleh sel batang, 1,000,000 rod per mm 2, ketumpatan tertinggi bagi mana-mana mata vertebrata,[8] yang teratur dalam lapisan, susunan yang unik dalam kalangan burung tetapi dikongsi oleh ikan laut dalam. Ia mempunyai bilangan sel kon yang rendah, dan susunan keseluruhannya akan membolehkannya menangkap lebih banyak cahaya dalam keadaan cahaya rendah tetapi mungkin mempunyai penglihatan yang lemah pada waktu siang.[9]

Walaupun ia mempunyai penglihatan tersesuai khusus untuk meramu melalui penglihatan, ia adalah antara segelintir burung yang diketahui menokok penglihatannya dengan ekolokasi dalam keadaan cahaya malap, menggunakan satu tubian klik berbunyi tajam untuk tujuan tersebut. Satu-satunya burung lain yang diketahui melakukan sepertinnya ialah beberapa spesies lelayang.[10]

Selain klik yang digunakan untuk ekolokasi, Segan-Minyak juga menghasilkan pelbagai seruan yang keras semasa berada di dalam guanya. Memasuki gua dengan cahaya terutamanya akan menimbulkan seruan garuk tersebut; ia juga boleh didengari semasa ia bersiap untuk keluar dari gua pada waktu senja.

Taburan dan habitat

[sunting | sunting sumber]
Segan-Minyak bertengger di tebing yang lebih terbuka di Ecuador

Segan-Minyak berjulat dari Guyana dan pulau Trinidad hingga Venezuela, Colombia, Ecuador, Peru, Bolivia dan Brazil pada ketinggian paras laut hingga 3,400 m (11,200 ka).[11] Spesies ini mempunyai keperluan habitat yang sangat khusus, memerlukan kedua-dua gua untuk membiak dan bertengger dengan kerap, dan hutan yang mengandungi pokok berbuah. Sekiranya gua yang sesuai tidak ada, Segan-Minyak akan bertengger dan membiak di gaung dan gua yang sempit dengan pentas batu yang sesuai.

Satu koloni sedemikian di Ekuador menempatkan populasi seratus burung di dalam ngarai dengan tebing dilindungi oleh tumbuh-tumbuhan.[12] Beberapa gua dan gaung yang lebih kecil digunakan hanya untuk bertengger.[6] Walaupun pernah dianggapkan bahawa Segan-Minyak sentiasa atau hampir selalu bertengger di gua, ngarai, atau parit, penyelidik yang meletakkan penjejak GPS pada Segan-Minyak yang tidak membiak telah mendapati bahawa ia kerap bertengger di pokok di dalam hutan dan juga di dalam gua.[13]

Ia merupakan pehijrah bermusim yang merentasi beberapa julatnya, bergerak dari gua pembiakannya untuk mencari pokok buah-buahan. Ia pernah dijumpai sebagai kutu rayau langka di Costa Rica, Panama, dan Aruba. Gua Guacaro (Gua Burung Minyak), di daerah pergunungan Caripe di utara Monagas, Venezuela, ialah tempat julung kali Alexander von Humboldt mengkaji spesies tersebut.

Tingkah laku

[sunting | sunting sumber]
Tabiat meluasnya untuk bertelur di pokok baru-baru ini ditemui oleh saintis

Segan-Minyak bersifat nokturnal. Pada waktu siang, ia berehat di tebing gua dan keluar pada waktu malam untuk mencari buah di luar gua. Pernah disangka bahawa Segan-Minyak hanya bertengger di dalam gua dan memang tidak melihat siang hari, tetapi kajian menggunakan GPS/peromba pecutan mendapati Segan-Minyak yang tidak membiak hanya bertengger di dalam gua atau tempat perlindungan batu lain pada satu malam dalam tiga, manakala pada malam yang lain bertengger di pokok.

Para saintis yang bertanggungjawab untuk penemuan tersebut juga mendapati bahawa Segan-Minyak yang bertengger di dalam gua sangat giat sepanjang malam, manakala Segan-Minyak yang bertengger di dalam hutan adalah jauh kurang giat. Mereka membuat hipotesis bahawa setiap persekitaran mempunyai padahnya; Segan-Minyak yang bertengger di hutan lebih terdedah kepada pemangsa dan Segan-Minyak yang bertengger di dalam gua menghabiskan tenaga yang besar untuk bersaing dengan saingan dan mempertahankan tepian bersarang dan bertengger.[13]

Pembiakan

[sunting | sunting sumber]
Segan-Minyak di tebing dalam gua

Segan-Minyak ialah penyarang gua koloni. Sarangnya ialah timbunan najis, biasanya di atas badan air—sama ada sungai atau laut—di mana 2–4 biji telur putih berkilat dihasilkan yang kemudiannya menjadi perang pudar. Telurnya bulat tetapi dengan bucu yang lebih kecil dan tajam dan purata 41.2 milimeter (1.62 in) kali 33.2 milimeter (1.31 in). Anaknya menjadi sangat gemuk sebelum boleh terbang, beratnya sekitar satu pertiga lebih banyak daripada burung dewasa.

Status dan pemuliharaan

[sunting | sunting sumber]

Gua Guacaro ialah monumen negara pertama Venezuela dan merupakan pusat taman negara; mengikut beberapa anggaran mungkin terdapat 15,000 atau lebih burung yang tinggal di sana. Kolombia juga mempunyai taman negara yang dinamakan sempena "Cueva de los Guácharos", berhampiran sempadan selatan dengan Ekuador. Segan-Minyak telah dilaporkan di pelbagai tempat lain di sepanjang rantaian pergunungan Andes, termasuk berhampiran Cueva de los Tayos di Ekuador dan di Brazil: ia diketahui tinggal sejauh selatan Taman Negara Carrasco di Bolivia. Gua Dunston, di Pusat Alam Asa Wright di Trinidad, ialah kediaman kira-kira 200 pasangan bersarang. Spesies tersebut dikelaskan sebagai Kurang Membimbangkan oleh senarai merah IUCN pada Oktober 2016, walaupun populasi semakin berkurangan.[14]

Nota kaki

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ BirdLife International (2016). "Steatornis caripensis". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2016: e.T22689633A93240317. doi:10.2305/IUCN.UK.2016-3.RLTS.T22689633A93240317.en. Dicapai pada 11 November 2021.
  2. ^ Snow (2008), pp. 137–143.
  3. ^ Van Remsen, J. (2016). "Elevate Steatornithidae and Nyctibiidae to rank of Order". South American Classification Committee. Dicapai pada 26 February 2017.
  4. ^ "Treasure of the month: Humboldt's nightbird". hamburg.leibniz-lib.de. 2019-09-09. Dicapai pada 2022-09-23.
  5. ^ Storrs, Olson (1987). "An early Eocene oilbird from the Green River Formation of Wyoming (Caprimulgiformes: Steatornithidae)" (PDF). Documents des Laboratoires de Géologie de Lyon. 99: 57–69.
  6. ^ a b c d Thomas, B.T. (2017).
  7. ^ Burnie D and Wilson DE (Eds.
  8. ^ a b Martin, G; Rojas, L. M.; Ramírez, Y.; McNeil, R. (2004). "The eyes of oilbirds (Steatornis caripensis): pushing at the limits of sensitivity". Naturwissenschaften. 91 (1): 26–9. Bibcode:2004NW.....91...26M. doi:10.1007/s00114-003-0495-3. PMID 14740100.
  9. ^ Rojas, L. M.; Ramírez, Y.; McNeil, R.; Mitchell, M.; Marín, G. (2004). "Retinal Morphology and Electrophysiology of Two Caprimulgiformes Birds: The Cave-Living and Nocturnal Oilbird (Steatornis caripensis), and the Crepuscularly and Nocturnally Foraging Common Pauraque (Nyctidromus albicollis)". Brain, Behavior and Evolution. 64 (1): 19–33. doi:10.1159/000077540. PMID 15051964.
  10. ^ Brinkløv, Signe; Fenton, M. Brock; Ratcliffe, John (2013). "Echolocation in Oilbirds and swiftlets". Frontiers in Physiology. 4 (123): 188. doi:10.3389/fphys.2013.00123. PMC 3664765. PMID 23755019.
  11. ^ (dalam bahasa Sepanyol) Carreño, R., J. Nolla & J. Astort (December 2002).
  12. ^ Cisneros-Heredia, D. F.; Henry, P. Y.; Buitrón-Jurado, G.; Solano-Ugalde, A.; Arcos-Torres, A.; Tinoco, B. (2012). "New data on the distribution of Oilbird Steatornis caripensis in Ecuador". Cotinga. 34 (28–31).
  13. ^ a b Holland, R. A.; Wikelski, M.; Kümmeth, F.; Bosque, C. (2009). "The Secret Life of Oilbirds: New Insights into the Movement Ecology of a Unique Avian Frugivore". PLOS ONE. 4 (12): e8264. Bibcode:2009PLoSO...4.8264H. doi:10.1371/journal.pone.0008264. PMC 2788423. PMID 20016844.
  14. ^ "The IUCN Red List of Threatened Species". IUCN 2019. Dicapai pada 1 April 2019.
  • ffrench, Richard (1991). A Guide to the Birds of Trinidad and Tobago (ed. 2nd). Comstock Publishing. ISBN 0-8014-9792-2.
  • Herklots, G. A. C. (1961). The Birds of Trinidad and Tobago. Collins, London. Reprint 1965.
  • Hilty, Steven L (2003). Birds of Venezuela. London: Christopher Helm. ISBN 0-7136-6418-5.
  • Holland RA, Wikelski M, Kümmeth F, Bosque C, 2009 The Secret Life of Oilbirds: New Insights into the Movement Ecology of a Unique Avian Frugivore. PLoS ONE 4(12): e8264.  
  • Stiles and Skutch, A Guide to the Birds of Costa Rica. ISBN 0-8014-9600-4ISBN 0-8014-9600-4
  • Snow, D.W. (2008). Birds in Our Life. William Sessions Limited. ISBN 978-1-85072-381-3ISBN 978-1-85072-381-3 (pbk).
  • Bulletin of the British Ornithologists' Club, volume 124 issue 6.